IPOH, 31 Julai – Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila wang simpanan persaraan bersama isterinya berjumlah RM542,171 lesap akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata menyedari tertipu dengan pelaburan berkenaan, lelaki berusia 70 tahun itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada 4.34 petang semalam.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati pada 8 Jan lalu semasa mangsa berada di rumahnya di Hutan Melintang telah berhubung dengan pemilik laman Facebook Najwan Islamic beralamat di Singapura yang menawarkan perkhidmatan pembelian saham mata wang kripto di Amerika Syarikat.

“Suspek telah meminta maklumat peribadi mangsa seperti nombor kad pengenalan diri dan nombor akaun bank bagi tujuan urusan dokumentasi pelaburan wang kripto tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yusri berkata mangsa memulakan pelaburan saham mata wang kripto tersebut pada 9 Jan lalu dengan membeli dua unit saham bernilai RM500 dan memasukkan wang berkenaan ke dalam satu akaun bank tempatan.

Mohd Yusri berkata mangsa diberitahu oleh suspek akan mendapat pulangan wang pelaburan sebanyak RM4,950 dan mangsa dikatakan akan mendapat keuntungan sebanyak RM4,500 dalam tempoh sehari iaitu pada hari yang sama. 

“Suspek juga memberitahu mangsa supaya tidak mengeluarkan wang tersebut kerana keuntungan wang itu akan semakin meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata mangsa menghubungi suspek pada 10 Jan lalu untuk bertanyakan berkaitan wang pelaburan dan diberitahu telah mempunyai keuntungan sebanyak RM18,500 namun mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran kepada suspek bagi mendapatkan keseluruhan hasil pelaburannya. 

Menurutnya bagi tempoh Januari hingga Julai, mangsa telah membuat sebanyak 133 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke dalam 39 akaun bank tempatan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM542,171.20. 

“Dalam tempoh tersebut juga mangsa tidak menerima sebarang bayaran daripada hasil pelaburannya. Wang tersebut merupakan hasil simpanan mangsa dan wang persaraan mangsa serta isteri,” katanya.

Mohd Yusri berkata apabila mangsa sudah kehabisan wang, suspek tetap meminta mangsa untuk terus melabur dan apabila mangsa mahu suspek memulangkan semula kesemua pelaburannya itu suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas mesej melalui WhatsApp. 

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here