KUALA LUMPUR, 21 Jan – Kerajaan bersedia meneliti keperluan penstrukturan semula sistem beras sedia ada untuk mengelak berlakunya penyelewengan atau sindiket kartel dalam industri padi dan beras negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementeriannya memandang serius dakwaan isu kartel atau berlakunya ‘permainan’ pihak tertentu dalam sektor berkenaan.

“Kita memandang serius (isu beras) dan buat apa sahaja perkara yang boleh termasuk soal struktur (sistem) beras, apakah perlu dikaji semula… kerajaan akan menilai semula dari sudut struktur organisasi beras di Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke kolam ternakan ikan air tawar di ARC Berkat Agrofood Sdn Bhd, Rawang, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) mendakwa wujud ‘permainan’ tertentu di dalam Padiberas Nasional Bhd (Bernas) selain mendakwa isu kartel berkemungkinan benar-benar berlaku.

Presiden Barim Ismail Awang dilapor berkata ahli persatuan itu tidak mendapat bekalan beras tempatan daripada Bernas kerana dikatakan tiada stok, sebaliknya sebahagian besar pasar raya mendapat bekalan berkenaan.

Mohamad berkata beberapa isu berkaitan industri itu masih dalam perbincangan antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dengan Pejabat Kawalselia Padi dan Beras.

“Sekarang ini, masih dalam peringkat perbincangan dan jika berlaku apa-apa penyelewengan, mereka akan ambil tindakan… kita tunggulah hasil siasatan,” katanya.

Sementara itu, berkaitan industri akuakultur, Mohamad berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyasarkan sebanyak 500,000 tan metrik hasil pengeluaran industri berkenaan tahun ini.

Beliau berkata ia mampu dicapai dengan memperkasakan sumber hasil iaitu 60 peratus bidang akuakultur dan 40 peratus perikanan tangkapan.

Mohamad berkata pada masa sama kempen untuk meningkatkan minat rakyat terhadap produk ikan air tawar juga perlu diperhebat sekali gus meningkatkan permintaan terhadap hasil ikan air tawar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here