BEIJING, 14 Ogos — Presiden Ilham Aliyev menyifatkan hubungan Azerbaijan dengan China berada di landasan kukuh dan semakin akrab serta mempunyai peluang cerah untuk terus berkembang. 

Ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini, beliau turut menzahirkan rasa teruja untuk meningkatkan lagi kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

“Hubungan dua hala kian erat. Dalam aspek isu global, kedua-dua negara mempunyai pendirian yang serupa.

“Begitu juga mengenai kedaulatan dan keutuhan wilayah sesebuah negara, serta pendirian untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain,” kata Aliyev.

Menyentuh mengenai aspek ekonomi, beliau berkata jumlah nilai perdagangan China-Azerbaijan sedang meningkat dan memperlihatkan potensi peningkatan yang besar.

Aliyev berkata China kini mempunyai semakin banyak ‘rakan’ di arena antarabangsa, selain turut menghulurkan bantuan kepada negara-negara yang amat memerlukan bantuan.

“Apabila tercetusnya pandemik COVID-19 pada peringkat awal, Azerbaijan menghadapi kesukaran besar seperti kekurangan vaksin.

“China merupakan satu-sautnya negara yang memberikan vaksin kepada kami, sekali gus menjadikan Azerbaijan antara negara yang paling awal memulakan proses pemvaksinan di dunia,” kata Presiden itu.

Aliyev turut menyelar tindakan sesetengah negara Barat yang menyorok lima kali ganda vaksin yang diperlukan dan menghalang vaksin mereka dieksport.

“Kami menentang amalan ‘nasionalisme vaksin’ itu.

“Contoh tersebut memaparkan pendirian China terhadap Azerbaijan dan saya yakin, China akan mengambil tindakan serupa terhadap setiap negara yang memerlukan bantuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here