KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Usaha menaik taraf fasiliti kesihatan awam yang daif khususnya klinik kesihatan (KK) bukan sahaja untuk mengurangkan kesesakan di hospital awam tetapi juga bertujuan mengurangkan jurang perkhidmatan kesihatan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata projek penambahbaikan ini juga akan meningkatkan kualiti sistem perkhidmatan kesihatan seperti yang disasarkan menerusi tonggak utama Kertas Putih Kesihatan untuk mencapai kelestarian dan kemampananan sistem kesihatan negara.

“Kita mengutamakan perkhidmatan kesihatan yang hampir dengan rakyat iaitu kita buat pembaikpulihan terhadap fasiliti daif seperti di KK kerana perkhidmatan yang diberikan di KK merupakan ‘primary care’… kalau ia (KK) baik Insya-Allah boleh atasi semua masalah kesihatan asas komuniti dan rakyat juga tidak perlu tertumpu di hospital-hospital.

“Apa yang kita mahukan sekurang-kurangnya KK ada perkhidmatan  X-ray atau makmal,” katanya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Dr Zaliha berkata kerangka Kertas Putih Kesihatan yang diperkenalkan juga adalah selari dengan prinsip ekonomi MADANI antaranya yang memberi tumpuan berkaitan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemampanan sistem ekonomi itu sendiri.

“Ini yang akhirnya membawa kepada pertumbuhan ekonomi mampan, ia terkait dengan Kertas Putih Kesihatan iaitu apa yang kita hendak capai termasuklah perkhidmatan kesihatan yang terbaik buat rakyat.

“Ia juga merangkumi beberapa perkara antaranya kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, kemampuan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan sistem itu sendiri haruslah kalis masa depan berdasarkan apa yang kita pelajari daripada kesan pandemik lalu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here