KUCHING, 19 Ogos – Edisi ketiga ‘NASA Space Apps Sarawak’, sebuah acara hackathon global dianjurkan Bahagian Bumi dan Sains Angkasa, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat dengan Kerajaan Sarawak sebagai penganjur tempatan, dilancarkan hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata acara tahun ini menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 peserta terdiri daripada pelajar berusia 13 tahun dan ke atas, dengan misi menyediakan peluang kepada mereka menerokai sains bumi dan angkasa, membangunkan bakat menyelesaikan masalah dan menggalakkan minat dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kami mahu cuba meraih lebih ramai penyertaan di kawasan pedalaman dan pinggir bandar supaya lebih ramai daripada mereka terdedah dan berminat kepada pendidikan sains.

“Ini selari dengan usaha kerajaan negeri untuk mencapai 60 peratus pelajar dalam STEM menjelang 2030,” katanya dalam sidang media pelancaran acara itu di sini, hari ini.

Beliau berkata sejak diadakan kali pertama pada 2021, acara itu telah menarik minat lebih 2,500 peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan universiti, bagaimanapun, fokus ketika itu ialah di kawasan seperti Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.

Katanya, penyertaan sulung Sarawak dalam acara antarabangsa melibatkan 162 negara itu membuahkan kejayaan apabila pasukan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, Change Maker, memperoleh kedudukan 10 terbaik bagi anugerah Kegunaan Terbaik Teknologi, manakala pasukan daripada SMK Pujut Miri mara ke peringkat akhir global.

Harden berkata Change Maker menerima anugerah itu hasil ciptaan aplikasi mobil inovatifnya yang membolehkan pemilik rumah memantau output eletrik dan menganggarkan penjimatan panel solar menggunakan data meteorologi NASA.

Sementara itu SMK Pujut Miri mempertandingkan permainan berpapan bertema angkasa yang menggabungkan seni bina angkasa dan cabaran.

Sebagai penghargaan kepada pencapaian Change Maker, beliau berkata kementeriannya telah menaja lawatan mereka ke ibu pejabat NASA di Washington DC awal tahun ini, bertujuan memberi inspirasi kepada lebih ramai bakat untuk menghasilkan perubahan berimpak kepada komuniti.

Bagi acara tahun ini yang bertemakan ‘Explore Open Science Together’ atau ‘terokai sains terbuka bersama’, beliau berkata pihak penganjur Sarawak akan mengadakan jerayawara ke 50 sekolah di negeri ini meliputi kawasan pinggir bandar dan pedalaman  seperti Bau, Mukah, Sarikei, Sri Aman, Saratok dan Baram.

Beliau berkata jerayawara itu akan mempromosikan kolaborasi amalan saintifik yang menggalakkan penyertaan, perkongsian ilmu dan impak global, seperti penerangan mengenai Teleskop Angkasa James Webb, selain melibatkan pelajar dengan aktiviti amali. 

“Penyertaan ini memberi peluang unik kepada pelajar untuk memulakan ‘perjalanan’ NASA Space Apps Sarawak mereka, yang disertakan dengan imbuhan dan hadiah menarik,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here