KUALA LUMPUR, 19 Ogos – United Kingdom (UK) mengesahkan komitmennya untuk membimbing generasi pemimpin Malaysia akan datang yang bersedia untuk menyumbang secara signifikan kepada masa depan negara menerusi program Biasiswa Chevening.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Ailsa Terry, berkata program biasiswa berprestij itu, bertujuan untuk mengenal pasti dan menyokong bakat cemerlang Malaysia, dengan menawarkan mereka akses kepada pendidikan bertaraf dunia serta pengalaman luar biasa di UK. 

“UK mahu melabur dalam pembangunan generasi pemimpin Malaysia akan datang yang akan pulang ke negara ini dan menyumbang kepada masa depan Malaysia,” katanya dalam ucapan pada majlis taklimat dan resepsi untuk penerima biasiswa Chevening, di sini pada Jumaat.

Seramai 35 rakyat Malaysia dianugerah biasiswa Chevening bagi tahun akademik 2023/24 di UK, termasuk seorang individu yang menerima Chevening Fellowship untuk kursus pendek di Pusat Pengajian Islam Oxford.

Terry menekankan mengenai pentingnya hubungan pendidikan yang berakar umbi antara Malaysia dan UK, dengan menekankan bahawa bilangan sarjana yang melanjutkan pengajian di bawah Chevening dari Malaysia mengatasi mana-mana negara lain di ASEAN.

Malaysia merupakan penerima kedua terbesar anugerah Chevening di ASEAN dan mempunyai rangkaian alumni Chevening melebihi 1,800 orang.

Sementara itu, seorang sarjana Chevening, Melvinderjit Singh, yang akan mengikuti kursus Kesihatan Digital dan Keusahawanan di University College London, berkata biasiswa itu menyediakan platform untuknya melibatkan diri dengan pemimpin masa depan dan bertukar idea dalam menangani cabaran global.

Dr Mohd Khairul Ikhwan Mohd Nizam dari Melaka pula akan mendaftar di Brighton and Sussex Medical School dalam Healthcare Leadership and Commissioning bagi memahami cara memperkukuh dasar kesihatan menerusi kewujudan ekosistem kewangan mampan melalui mekanisme insurans kesihatan.

Grace Pounsin dari Sabah pula akan mengikuti kursus Conservation and International Wildlife di  Trade Durrell Institute of Conservation and Ecology (DICE) di Universiti Kent, berkata beliau mahu menyumbang untuk projek sukarelawan dalam pemuliharaan yang selaras dengan aspirasi kerjayanya.

Anugerah Chevening, program biasiswa global Kerajaan UK yang memasuki ulang tahun ke-40nya , dibiayai dan ditadbir oleh Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK.

Rakan korporat Malaysia iaitu Yayasan CIMB, Yayasan Khazanah dan Yayasan Jeffrey Cheah. Universiti British turut membantu menyediakan pembiayaan tambahan untuk menyokong program Chevening.

Permohonan biasiswa Chevening 2024/25 akan dibuka pada September. Rakyat Malaysia yang mahu mendapatkan biasiswa untuk pengajian pasca siswazah di UK, digalakkan untuk memohon.

Layari www.chevening.org/malaysia untuk maklumat lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here