KUALA TERENGGANU, 22 Ogos – Hospital Dungun yang dalam persiapan akhir pembinaan, bakal menjadi hospital pakar ketiga di Terengganu selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan Hospital Kemaman.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed berkata penyediaan perkhidmatan hospital pakar ialah satu daripada sumbangan kerajaan MADANI bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan khusus dan terbaik selaras dengan visi mengangkat kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata pembukaan hospital itu juga akan membuka luas prospek kerjaya di semua peringkat pekerjaan termasuk profesional, klinikal, jururawat dan pengurusan.

“Ini merupakan perkembangan positif bagi rakyat Terengganu kerana bakal menikmati perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti.

“Malahan, peluang pekerjaan untuk sektor lain seperti perkhidmatan pembersihan dan perniagaan dapat diwujudkan menerusi pembukaan hospital ini nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zulkapli melakukan lawatan kerja projek lambat siap di Hospital Dungun pagi tadi untuk meninjau persiapan akhir pembinaan bangunan terutama bilik bedah.

Lawatan itu juga adalah untuk memastikan fasiliti lain disiapkan mengikut spesifikasi bagi menjamin kebajikan penjawat awam serta keselamatan pesakit yang akan mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Hospital Dungun yang mampu memuatkan 110 katil itu mula dibina pada 2016 dan sepatutnya siap pada 2019.

Sebanyak 10 kepakaran akan disediakan termasuk Pediatrik; Obstetrik dan Ginekologi; Psikiatri; Patologi; Anestesiologi dan Pergigian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here