KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Belian bersih oleh pelabur asing selama enam minggu berturut-turut di Bursa Malaysia berakhir apabila mereka menjual bersih RM153.4 juta minggu lepas.

Dalam Laporan Aliran Dananya bagi minggu berakhir 25 Ogos, MIDF Research berkata minggu tersebut bermula dengan aliran masuk asing bersih sebanyak RM6.2 juta, yang beralih kepada aliran keluar dari Selasa hingga Khamis, berjumlah RM213.9 juta.

Katanya aliran masuk asing bersih bersambung semula pada Jumaat sebanyak RM54.4 juta, berikutan statistik inflasi yang menggalakkan yang menunjukkan kenaikan dua peratus tahun ke tahun dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Julai 2023, menunjukkan pertumbuhan terkecil dalam tempoh dua tahun.

Menurut MIDF, pelabur asing membeli saham seperti Boustead Plantations (RM67.6 juta), UMW (RM44.6 juta) dan Malaysia Airports (RM20.8 juta).

Setakat ini, firma penyelidikan itu berkata pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti domestik sebanyak RM2.56 bilion.

Katanya tiga sektor utama dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM122.4 juta), perladangan (RM112.2 juta) dan hartanah (RM54.0 juta).

Sementara itu, katanya tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM222.3 juta), barangan pengguna dan perkhidmatan (RM107.1 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM60.2 juta).

“Institusi tempatan mengekalkan status sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut sebanyak RM277.3 juta. Setakat ini, institusi tempatan mencatatkan aliran masuk sebanyak RM3.04 bilion.

“Memasuki minggu ketujuh berturut-turut, peruncit tempatan meneruskan trend jualan bersih mereka dengan ekuiti domestik bernilai RM124 juta dijual minggu lepas, menjadikan aliran keluar bersih setakat ini segmen itu kepada RM472.9 juta,” katanya.

Dari segi penyertaan, MIDF berkata purata jumlah dagangan harian pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing, masing-masing merosot sebanyak -1.8 peratus, -2.6 peratus dan -0.5 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here