IPOH, 28 Ogos – Budaya keselamatan di semua organisasi memainkan peranan penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berkesan dan mencapai standard prestasi tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Program Pembangunan dan Penyelidikan Teknologi) Agensi Nuklear Malaysia, Dr Rosli Darmawan berkata dengan menitikberatkan budaya keselamatan yang tinggi, organisasi secara tidak langsung dapat mempengaruhi amalan, sikap dan tingkah laku pihak berkepentingan. 

“Untuk mencapai matlamat ini, ia memerlukan komitmen berterusan semua pihak terhadap perlindungan kepada manusia dan alam sekitar bagi risiko radiasi dan keselamatan kemudahan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan dan Bengkel  Perlindungan Sinaran kali ke-24 bertemakan ‘Advancing Radiation Protection For Safety Culture’ di sini hari ini.

Beliau berkata kepentingan inovasi dan teknologi perlu diberi penekanan dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan menjadi peneraju teknologi nuklear di peringkat serantau.

Persidangan anjuran Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) selaku pertubuhan bukan kerajaan mewakili kumpulan profesional serta berkemahiran dalam aspek perlindungan dan keselamatan sinaran, turut mendapat kerjasama daripada Agensi Nuklear Malaysia. 

Ia bertujuan menyampaikan maklumat terkini berkenaan pembangunan aplikasi teknologi nuklear dalam pelbagai bidang dan memberi gambaran menyeluruh serta amalan terkini dalam perlindungan dan keselamatan sinaran di tempat kerja dan lapangan.

Persidangan selama empat hari itu membabitkan kira-kira 150 ahli terdiri daripada ahli akademik, universiti, jabatan kerajaan dan majoriti peserta dari pihak industri, yang menggunakan teknologi nuklear di negara ini dengan pembentangan kertas kerja dari pelbagai sektor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here