BEIJING, 29 Ogos — Menteri Perdagangan China Wang Wentao mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Gina Raimondo, di sini, pada Isnin.

Wang dalam ucapannya menyifatkan bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan merupakan asas hubungan China dan AS.

Jelasnya, perdagangan antara kedua-dua negara amat penting bagi ekonomi masing-masing dan juga ekonomi dunia.

“China bersedia berusaha bersama AS untuk memegang prinsip saling menghormati, hidup bersama secara damai, bekerjasama mewujudkan situasi  sama menang, menyediakan suasana dasar yang baik kepada usaha sama antara penggiat industri dan perniagaan kedua-dua negara, selain menggalakkan perdagangan serta pelaburan dua hala,” kata Wang.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan serius mengenai beberapa isu termasuk tarif Seksyen 301 AS terhadap China, dasar semikonduktornya, sekatan pelaburan dua hala, subsidi diskriminasi dan sekatan ke atas perusahaan China.

Wang berkata tindakan membesar-besarkan konsep keselamatan negara adalah tidak kondusif kepada pertukaran ekonomi dan perdagangan normal, dan pelaksanaan langkah-langkah unilateral dan perlindungan pula tidak selaras dengan peraturan pasaran dan prinsip persaingan yang adil.

Malah, beliau menjelaskan bahawa tindakan itu hanya akan menjejaskan keselamatan dan kestabilan rantai industri dan rantai bekalan global.

Ketika menyentuh mengenai penyataan AS yang berulang kali untuk tidak mahu merosakkan hubungan dengan China, Wang meletakkan harapan kepada AS untuk merealisasikan azam itu.

Dalam perkembangan lain, Wang dan Raimondo mengumumkan penubuhan saluran komunikasi baharu antara Kementerian Perdagangan China dan Jabatan Perdagangan AS.

Difahamkan, ia merupakan susulan kesedaran berhubung peri penting wujudnya dialog terbuka dan produktif kedua-dua negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan,

Untuk itu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang terdiri daripada timbalan menteri dan pegawai kerajaan peringkat biro dari China dan AS, selain turut disertai wakil-wakil syarikat untuk mencari penyelesaian isu perniagaan yang konkrit.

Menurut laporan. jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat peringkat timbalan menteri dua kali setahun, dengan kekerapan pertemuan dipersetujui untuk diadakan sekurang-kurangnya sekali setahun.

Selain itu, kedua-dua pihak turut melancarkan mekanisme pertukaran maklumat kawalan eksport yang berfungsi menerangkan sistem kawalan eksport masing-masing dan meningkatkan komunikasi.

China dan AS akan bertukar-tukar maklumat mengenai perincian kawalan eksport mengikut undang-undang masing-masing.

Intipati perbincangan antara Wang dan Raimondo juga adalah merupakan susulan daripada pertemuan Presiden Xi Jinping dan Joe Biden dalam pertemuan di Bali, Indonesia untuk mencapai konsensus penting terhadap hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here