GEORGE TOWN, 30 Ogos – Semua pihak di Pulau Pinang diseru agar melupakan sengketa politik selepas Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) yang lalu, sebaliknya memberi fokus terhadap urus tadbir dan memperkukuhkan perpaduan terutama sempena sambutan Hari Kebangsaan, esok.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ini kerana tanpa perpaduan rakyat tidak mungkin mencapai kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan yang berterusan.

“Hentikanlah sebarang provokasi, elakkan membuat kenyataan bersifat adu domba menggunakan sentimen agama dan kaum atau menyebarkan maklumat palsu terutama di media sosial sehingga mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan ke-66, di sini, hari ini.

Chow berkata tahun ini sambutan Hari Kebangsaan, jauh lebih bermakna apabila sejarah dilakar dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan sekali gus menamatkan kemelut ketidaktentuan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam lipatan sejarah Malaysia.

Katanya pembentukan Kerajaan Perpaduan ini membuktikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tonggak perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

Chow berkata sebagai simbolik mandat baharu Kerajaan Perpaduan, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dilantik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih rakyat kini bersedia mengorak hala tuju untuk negeri tercinta.

Katanya bertitik tolak dari situ, semua pihak sememangnya harus bersyukur kerana Pulau Pinang terus mengukir sejarahnya tersendiri sejak 2008.

“Pulau Pinang terus menggamit kemasukan pelaburan berpotensi tinggi dengan lebih RM200 bilion dicatatkan menerusi pelaburan sektor pembuatan dan kekal sebagai pengeksport utama negara sejak 2018 dengan nilai sebanyak RM170.8 trilion di samping mewujudkan lebih 222,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang juga menerima pelbagai pengiktirafan pada peringkat antarabangsa dan menjadi antara destinasi kegemaran pelancong dari luar negara.

“Menerusi gagasan Visi Penang 2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara pula, pelbagai inisiatif dan pendekatan baharu diperkenalkan dalam memastikan pembangunan negeri dinikmati oleh semua,” katanya.

Beliau berharap permulaan babak dan cabaran baharu untuk tempoh lima tahun akan datang dapat diutuhkan lagi bagi memastikan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang kekal relevan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here