KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Soka International School Malaysia (SISM) melancarkan tahun akademik pertamanya di Seremban, Negeri Sembilan pada 24 Ogos lepas, bagi membawa era baharu dalam pendidikan berasaskan nilai-nilai kemanusiaan.

SISM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia kini menjadi tuan rumah kepada sekolah menengah antarabangsa pertama di bawah sistem pendidikan Soka yang terkenal.

Menurut kenyataan itu, SISM mengalu-alukan kedatangan kumpulan perintis terdiri daripada 112 pelajar berusia 11 hingga 15  tahun, sekali gus menjadi sebahagian komuniti pelajar antarabangsa yang menampilkan  komitmen sekolah itu untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran inklusif bertujuan membentuk warga dunia berhemat.

Bagi tahun akademik 2023/24 itu, SISM menawarkan kurikulum Cambridge untuk Tahun 7 hingga 9.

Terletak dalam kawasan hijau yang berkeluasan 20.23 hektar, kampus seluas 4.04 hektar itu dilengkapi pelbagai kemudahan asrama. 

Menurut kenyataan itu, pendidikan di SISM berkisar pada Soka, iaitu falsafah Jepun yang mengutamakan nilai dengan meraikan potensi tanpa had dalam diri setiap kanak-kanak.

“Falsafah ini memperjuangkan idea bahawa kanak-kanak perlu menjalani hidup dengan berbakti, mewujudkan keseimbangan harmoni antara perkembangan peribadi dan kesejahteraan masyarakat. Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan warga dunia yang bijaksana, berani dan belas ihsan,” menurut kenyataan itu.

Pendekatan pendidikan SISM bertunjangkan kepada prinsip yang diperkenalkan Daisaku Ikeda, pengasas sistem sekolah Soka, dengan visi pendidikan kemanusiaan dan berpusatkan pelajar berfungsi sebagai asas membentuk masyarakat yang aman dan mendukung kemurnian dalam hidup. 

Menurut SISM pelajar akan terus cemerlang di bawah model pembelajaran teradun sekolah berkenaan, melibatkan pelbagai aspek pendekatan termasuk pembelajaran berasaskan pertanyaan, pembelajaran antara disiplin, pembelajaran berasaskan matlamat, pembelajaran berasaskan dialogik dan pembelajaran berasaskan penguasaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SISM Michael Kok Fook On dalam kenyataan sama berkata pelajar di sekolah itu berada pada peralihan yang ketara antara zaman kanak-kanak dan dewasa, yang pada peringkat ini mereka mencari dan mengembangkan identiti diri masing-masing, mencari ruang sendiri dan ingin mempunyai hubungan yang lebih bermakna dengan rakan sebaya.

“Oleh itu, adalah penting bagi pendidik menyokong pelajar pada peringkat penting perkembangan mereka ini sekali gus membantu membangunkan kesedaran tentang tujuan menjadi diri mereka sendiri,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai SISM boleh melawat Pusat Pelawat di PT25369, Persiaran Sendayan-Mambau, Bandar Sri Sendayan, 70300 Seremban, Negeri Sembilan dan layari laman web sism.edu.my. untuk menetapkan temu janji.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here