NEW DELHI, 1 Sept – Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Mohammad Azhar Mazlan mengetengahkan mesej perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2023 yang diadakan di Islamabad pada Khamis.

“Sebagai rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, kita perlu berbangga dengan negara kita yang tercinta, mengambil perhatian tentang kisah kejayaan Malaysia yang telah dicapai sejak kemerdekaan sebagai sebuah negara dinamik yang progresif.

“Malaysia menghargai perpaduan dalam kepelbagaian yang diberkati dengan limpahan kekayaan budaya, bahasa dan tradisi. Ketika bersama mengorak langkah menuju kemajuan, kita telah memupuk semangat kenegaraan yang kukuh yang berakar umbi dalam aspirasi kita, nilai bersama (dan) saling hormat-menghormati antara pelbagai etnik kita,” katanya.

Beliau juga menyentuh mengenai hubungan rapat Malaysia dengan Pakistan dan berikrar untuk berusaha memperluas serta menjadikan lebih kukuh. 

“Saya berbangga dapat menjadi saksi kepada ikatan persaudaraan yang kukuh dan berkekalan antara Malaysia dan Pakistan. Hubungan diplomatik yang sangat baik yang diperkukuh oleh hubungan rapat antara  rakyat telah menyumbang kepada hubungan lebih erat antara Malaysia dan Pakistan.

“Dalam konteks ini, Saya berhasrat untuk membawa hubungan ini ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Azhar.

Di New Delhi, kuasa usaha Malaysia Amizal Fadzli Rajali mengetuai upacara menaikkan bendera di Suruhanjaya Tinggi.

Kakitangan dan ahli keluarga mereka turut tidak ketinggalan menyertai acara itu. 

Sambutan pada tahun ini turut dimeriahkan dengan acara Merdeka Golf Challenge 2023 di resort ITC Classic Grand Bharat yang disertai 30 rakyat Malaysia, diplomat asing dan wakil korporat India.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here