BEIJING, 3 Sept – China diharap dapat memainkan peranan lebih besar dalam usaha menaiktarafkan kerjasama perdagangan perkhidmatan di peringkat global.

Harapan itu disuarakan tokoh-tokoh asing sempena perasmian Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2023 di Beijing pada Sabtu.

Presiden Benin, Patrice Athanase Guillaume Talondalam ucapannya berkata Afrika merupakan pengeksport penting bahan mentah pertanian dan perlombongan, tetapi ia tidak mengambil bahagian sepenuhnya dalam perdagangan perkhidmatan sejagat.

Beliau menyeru supaya masyarakat antarabangsa meningkatkan pelaburan produktif di negara-negara Afrika bagi membantu mereka mengintegrasikan diri dalam rantaian nilai global.

Ketua PengarahPertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala menyifatkan sektor perkhidmatan amat signifikan untuk mencapai pertumbuhan inklusif, dan pemerkasaan kerjasama antarabangsa berperanan penting dalam mengurangkan kos sektor berkenaan.

Beliau meluahkan harapan supaya China dapat memainkan peranannya dalam usaha tersebut.

“China muncul sebagai pengeksport perkhidmatan keempat terbesar dan pengimport kedua terbesar di dunia susulan prestasi negara itu yang mencapai pertumbuhan perdagangan perkhidmatan secara berterusan.

“Usaha memantapkan lagi sistem perdagangan multilateral memerlukan penglibatan semua anggota WTO termasuk China,” ujar Okonjo-Iweala.

Setiausaha Agung Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), Rebeca Grynspan pula menyatakan peralihan kepada ekonomi berorientasikan perkhidmatan bukanlah hak istimewa milik segelintir negara.

“Ia mesti menjadi satu proses inklusif yang membolehkan negara-negara membangun mengakses teknologi, pembangunan keupayaan pelaburan serta literasi digital dengan memanfaatkan potensi sektor perkhidmatan secara sama rata,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here