BEIJING, 7 Sept – Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Palang Merah Antarabangsa (IRC) Mirjana Spoljaric Egger di Dewan Besar Rakyat Beijing, pada Selasa.

Pada pertemuan itu beliau memuji usaha IRC dalam bidang kemanusiaan antarabangsa sejak ditubuhkan pada 160 tahun lalu, serta sumbangan penting pertubuhan itu terhadap kedamaian dan kemajuan dunia.

Menurut Xi, dunia kini sedang mengalami perubahan yang tidak pernah berlaku dalam tempoh ratusan tahun lalu, manakala masyarakat manusia pula menghadapi pelbagai cabaran termasuk yang lama dan baharu.

“Dengan situasi sedemikian, China tidak hanya menjaga kepentingan diri sendri, tetapi meningkatkan kerjasama dengan pelbagai negara untuk mencari cara penyelesaian serta mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

“Saya telah mengemukakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI), bertujuan untuk bersama dengan pelbagai negara mewujudkan pembangunan ekonomi, menambah baik kehidupan rakyat, mewujudkan situasi sama menang, serta menyediakan idea dan pelan China untuk meningkatkan tadbir urus global dan pengurusan isu kemanusiaan,” kata Xi.

Beliau menyatakan bahawa kemanusiaan boleh mengumpulkan konsensus maksimum antara pelbagai tamadun.

“Fahaman ‘orang berbudi mencintai orang lain’ dan ‘jangan paksa orang lain melakukan apa yang anda tidak mahu lakukan’ yang dirangkumi dalam budaya tradisional China adalah selaras dengan visi IRC.

“China mempertahankan konsep rakyat diutamakan, melakukan kempen membasmi kemiskinan yang berskala paling besar dalam sejarah manusia,” kata Presiden itu.

Jelas Xi, dalam operasi memerangi wabak COVID-19, China bukan sahaja menjaga keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat sendiri, tetapi juga melakukan operasi bantuan kemanusiaan sejagat yang berskala paling besar dalam sejarah.

“Fakta membuktikan, China merupakan pendukung, peserta dan penyumbang yang positif bagi usaha kemanusiaan antarabangsa. China bersedia meningkatkan kerjasama dengan IRC agar memberikan sumbangan yang penting bagi mendorong kedamaian dan kemajuan insan,” tambahnya.

Mirjana dalam ucapannya pula menyampaikan sekalung tahniah kepada China yang memperoleh hadiah paling banyak dalam penyampaian hadiah Nightingale ke-49.

“Ini memperlihatkan IRC dan masyarakat antarabangsa mengakui kejayaan China dalam pembangunan usaha kemanusiaan.

“China tetap menghormati dan melaksanakan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.

“Inisiatif BRI mendorong pembangunan dunia, membantu pembangunan usaha kemanusiaan. IRC memuji tinggi peranan dan sumbangan penting China bagi pembangunan usaha kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Mirjana turut menyatakan harapan pihaknya untuk meningkatkan kerjasama dengan China bagi menyumbang kepada kedamaian, pembangunan dan usaha kemanusiaan dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here