KLANG, 7 Sept – Program ‘Ini Warisan Kita’ anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dijadikan sebagai tapak interaksi sosial buat pelajar untuk mengenali kepelbagaian budaya dan warisan di negara ini.

Ketua Setiausaha KPN Datuk Noridah Abdul Rahim berkata menerusi program itu juga para pelajar dapat mengukuhkan semangat perpaduan di dalam diri masing-masing seterusnya menyuntik semangat cinta kepada tanah air.

“Apabila mengenali pelbagai budaya serta warisan, masing-masing (pelajar) akan faham mengenai keunikan yang terdapat dalam negara ini sebab kita rencam budaya. Berdasarkan kajian kita, defisit sosial adalah salah satu isu yang membelenggu.

“Jika kurang kefahaman (mengenai budaya dan warisan) di situlah timbulnya defisit sosial, kita mahu kecilkan masalah ini, sebab itulah program sebegini dilaksanakan supaya kita boleh memahami akan budaya berbeza ini lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist, di sini hari ini.

Beliau berkata program sehari itu melibatkan seramai 1,500 pelajar pelbagai kaum daripada 12  sekolah sekitar Klang antaranya SMK Sri Andalas, SMK Bukit Kuda, SMK Convent dan SMK Teluk Gadong.

“Antara pengisian utama program ini adalah persembahan kebudayaan, panel ‘Moment of Unity’ yang memaparkan detik-detik perpaduan yang tercetus dalam masyarakat, serta pameran reruai khazanah berharga negara,” katanya program itu juga adalah keseinambungan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Selain itu, Noridah berkata KPN akan memperluaskan program tersebut ke seluruh negara.

“Program ini adalah satu daripada pengisian utama dalam program flagship (utama) kementerian iaitu Kembara Perpaduan Malaysia MADANI melalui konsep ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’, selain dapat meningkatkan pengalaman dan ‘feel good factor’, program seumpama ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here