LENGGONG, 8 Sept – Sebanyak 92 daripada 206 menara telekomunikasi di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) telah siap dibina sepenuhnya di Perak hingga Julai tahun ini. 

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkembangan itu sesuatu yang positif selain mampu memberi nilai tambah khususnya dalam menyediakan capaian jalur lebar terbaik kepada masyarakat.

“Hasil daripada pelaksanaan atau pembinaan menara ini, status liputan 4G di Perak sehingga suku kedua 2023 telah mencapai tahap 97.35 peratus.

“Kita juga sasarkan sebanyak 105 menara telekomunikasi akan dibina sepenuhnya menjelang hujung tahun ini dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan beberapa pihak lain yang berkepentingan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program E Jualan Wanita (E-Juwita) Negeri Perak di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Salbiah Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi. 

Dalam pada itu, Saarani berkata setakat Ogos lepas, capaian rangkaian 5G di dalam kawasan berpenduduk di Perak telah mencapai kadar 70.8 peratus.

Mengulas tentang E-Juwita, beliau berkata program itu akan dijalankan di 24 kawasan Parlimen selain bakal memberi manfaat kepada 720 usahawan wanita khususnya dalam memperluas penjualan produk yang dihasilkan melalui platform digital seperti Lazada, Shopee, TikTok dan sebagainya.

Katanya, usahawan wanita yang berminat menyertai program berkenaan boleh melayari laman Facebook Sekretariat Pembangunan Usahawan (STeP) dan Wanita Perak bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Program ini akan menggunakan kaedah hands on iaitu peserta akan dibimbing oleh tenaga pengajar terlatih.

“Antara modul yang akan diterapkan melalui program ini ialah Business Model Canvas (BMC), penjenamaan dan pembungkusan, kandungan pemasaran serta hak cipta dan penjenamaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here