KUCHING, 17 Sept – Sambutan Hari Malaysia 2023 menjadi ‘pentas’ kepada Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) mempromosikan busana pelbagai etnik di Sabah kepada khalayak.

Pengerusi KDCA Sarawak Gundohing James Samid berkata seramai 150 ahli persatuan itu yang hadir pada sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan di sini malam ini menggayakan busana tradisi suku kaum di negeri itu seperti Bisaya, Iranun dan Kadazan Dusun.

“Kami mahu promosikan kewujudan etnik Sabah dengan menonjolkan pakaian tradisional kami sekali gus memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keunikan etnik di negeri ini,” katanya kepada Bernama.

Gundohing, yang berasal dari Kota Belud, berkata kira-kira 500 rakyat Negeri Di Bawah Bayu yang menetap di Sarawak telah berdaftar sebagai ahli KDCA. 

“Menerusi perayaan seperti ini, diharap dapat menarik lebih ramai rakyat Sabah yang tinggal di Sarawak kerana bekerja atau melanjutkan pelajaran supaya mendaftar agar KDCA dapat bergerak dengan lebih maju,” katanya. 

Segak memperagakan pakaian masyarakat Iranun, ahli KDCA iaitu Nurezaidatuliman Jamiran, 20, berkata ramai yang tidak mengetahui kewujudan suku kaum itu.

Anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu, yang kini melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, berkata beliau akan mengenakan busana tradisional suku kaum Iranun setiap kali terdapat sebarang acara atau sambutan di kampus.

“Saya bangga dapat memakai pakaian tradisi etnik saya sendiri dan berharap ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai terutama penduduk Semenanjung yang kurang pendedahan tentang etnik di Sabah dan Sarawak.

“Harapan saya lebih ramai anak muda sertai majlis seperti ini dan lebih banyak program seumpama ini diadakan. Sempena Hari Malaysia, mari kita sama-sama hindari sikap perkauman,” katanya.

Seorang lagi ahli KDCA, Saiful Ihsan Nasir, 20, dari Tenom, yang berpakaian tradisi Kadazan Dusun, pula berharap lebih ramai orang di Semenanjung dapat mengenali budaya pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here