IPOH, 25 Sept – Laluan penerbangan Ipoh-Langkawi tidak ditamatkan, tetapi hanya digantung untuk sementara waktu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee.

Katanya beliau telah merujuk isu berhubung perkara itu kepada syarikat penerbangan AirAsia dan pihak Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) bagi mendapatkan penjelasan tepat.

Bagaimanapun katanya tarikh pengoperasian semula laluan penerbangan itu masih belum dikenal pasti dan memerlukan kajian daripada pihak berkaitan.

“Sebarang laluan adalah di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan dalam menentukan potensi laluan baharu di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah ke lain-lain destinasi atau sebaliknya dan juga dengan kerjasama serta kelulusan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tiw Tiee Siang (PH-Tronoh) berkenaan alasan laluan penerbangan Ipoh-Langkawi ditamatkan, selain laluan penerbangan yang bakal diadakan bagi lapangan terbang di Ipoh.

Sementara itu menjawab soalan mengenai pengumpulan warisan Perak yang belum diterokai, Loh berkata promosi tarian tradisional Perak, Dabus perlu diperluaskan lagi ke persada antarabangsa dan domestik kerana kurang diketahui orang ramai termasuk masyarakat tempatan.

“Salah satu warisan di negeri Perak yang amat membanggakan bagi saya dan perlu kita perluaskan ialah tarian Dabus. Tarian Dabus hanya ada di negeri Perak sahaja, tiada di tempat lain.

“Cuma kalau nak kata promosi wayang kulit, ia mungkin ada di Kelantan, Selatan Thailand dan sebagainya, tetapi tarian Dabus cuma di negeri Perak, sedikit sedih kerana (ada antara) kita tak tahu tentang tarian dabus ini,” katanya.

Justeru, beliau memberi jaminan kerajaan negari akan ambil usaha yang perlu untuk melibatkan dan melindungi warisan Perak terutama dari segi budaya supaya ia dapat diwarisi generasi akan datang, selain memajukan sektor pelancongan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Berhanudin Ahmad (PN-Manong) sama ada terdapat peruntukan khusus kepada universiti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membuat kajian berkenaan pengumpulan data warisan Perak yang belum diteroka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here