IPOH, 25 Sept – Kerajaan Negeri Perak akan terus komited menarik pelaburan ke negeri tersebut bagi menyediakan pekerjaan kepada rakyat terutama dalam memastikan golongan muda kekal di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata setakat suku pertama tahun ini kerajaan telah berjaya menarik beberapa pelaburan yang bakal menyediakan puluhan ribu peluang pekerjaan dalam masa lima hingga 25 tahun akan datang.

Ia termasuk Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Pelabuhan Lumut, yang berpotensi menjana peluang pelaburan berjumlah RM72 bilion dengan 51,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 25 tahun akan datang. 

“Kita sememangnya nak sediakan peluang pekerjaan kepada bakat muda agar mereka tidak lagi tinggalkan negeri Perak, bukan hanya pekerjaan tetapi pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi kepada anak-anak muda Perak,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan M. Thulsi Thivani (PH-Buntong) yang mahu tahu apakah pencapaian yang telah pun direalisasikan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 daripada aspek pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri Perak setakat 2023.

— LAGI 

DEWAN-PERAK (PEKERJAAN) 2 (AKHIR) IPOH 

Sementara itu, Saarani berkata pembinaan kilang XP Power di negara ini yang melibatkan pelaburan hampir RM300 juta turut memberi kesan signifikan kepada pembangunan negeri Perak terutamanya di Daerah Perak Tengah. 

Projek yang dijangka siap pada suku kedua 2024 itu akan mewujudkan lebih 1,200 peluang pekerjaan. 

Katanya lagi, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini sebanyak 101 projek yang diluluskan dengan jumlah pelaburan keseluruhan berjumlah RM7.1 bilion dan dianggarkan sebanyak 7,682 peluang pekerjaan dapat diwujudkan di negeri ini menerusi pelaburan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here