BEIJING, 27 Sept – Naib Wakil Tetap China di PBB, Geng Shuang semalam menyatakan bahawa China bersedia berusaha bersama-sama pelbagai pihak untuk mendorong proses pelucutan senjata nuklear supaya matlamat dunia bebas senjata nuklear dapat dicapai seawal mungkin.

Geng berkata demikian dalam mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB untuk memperingati dan mendorong “Hari Antarabangsa Hapuskan Senjata Nuklear”. Menurut Geng, senjata nuklear merupakan ancaman keselamatan besar dihadapi pelbagai negara. Oleh itu, melarang dan menghapuskan senjata nuklear sehingga mewujudkan dunia bebas senjata nuklear merupakan hasrat bersama manusia. China menyokong inisiatif pelucutan senjata nuklear yang dikemukakan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.

Geng berkata, China sentiasa mengamalkan dasar pertahanan negara yang bersifat defensif, mengekalkan strategi nuklear yang juga bersifat defensif, membuat komitmen tidak menggunakan senjata nuklear secara terlebih dahulu pada bila-bila masa dan di bawah situasi apa-apa pun, dan tidak menggunakan atau mengancam akan menggunakan senjata nuklear terhadap negara dan kawasan tanpa senjata nuklear.

Selain itu, China akan terus secara minimum mengekalkan kekuatan nuklear pada taraf yang serasi dengan keperluan keselamatan negara, tidak mengadakan perlumbaan ketenteraan dengan sebarang negara bersenjata nuklear, dan tidak akan menyediakan payung pelindung atau menempatkan senjata nuklear di luar negara. Inilah komitmen dan sumbangan besar China terhadap usaha pelucutan senjata nuklear dalam senario global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here