BENTONG, 30 Sept – Sebanyak 50,000 tempat disediakan kepada generasi muda Felda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata peluang itu ditawarkan di lebih 1,300 institusi TVET kepada generasi kedua hingga kelima tanah rancangan, dengan kursus disediakan adalah bersesuaian dengan kehendak guna tenaga negara. 

“Tentulah kursus yang diadakan tidak lagi mengikut kursus konvensional. Kita (kena) lihat bagaimana agensi dan syarikat yang menyediakan kerja…umpamanya kita mahu terlibat dalam bidang seperti pengurusan tempat peranginan, melancong, insurans atau bidang-bidang lain. 

“Pada hemat saya kursus yang disediakan hendaklah sesuai dengan pasaran dan kehendak semasa bagi membolehkan mereka dapat memenuhi peluang pekerjaan yang luas,” kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Dewa dan Wilayah semasa berucap merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Felda Chemomoi di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ahmad Zahid berkata perbincangan akan dilakukan dengan pihak terlibat seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Human Resources Development Corporation (HRD Corp) untuk melihat keperluan semasa dalam kursus yang boleh ditawarkan. 

Beliau berkata HAWA, sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah UMNO juga diminta turut membantu dengan mewujudkan kursus dan latihan terbaik buat golongan wanita dan generasi muda Felda. 

Selain itu, beliau berkata mengambil kira pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  berhubung kewujudan pusat hemodialisis di wilayah Felda dikendalikan Yayasan Felda, Ahmad Zahid berkata latihan bagi menguruskan pusat dialisis itu merupakan antara yang boleh ditawarkan kepada golongan muda.

Pada sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Taman Ekspo Pertanian (MAEPS) Serdang, Selangor, 7 Julai lepas, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM21 juta bagi pembinaan 12 pusat hemodialisis di seluruh wilayah Felda.

Menurutnya permohonan supaya peluang melanjutkan pendidikan TVET dibuka kepada generasi muda Felda antara yang ‘dibisikkan’ Ahmad Shabery kepada beliau.

Ahmad Zahid berkata pembangunan modal insan Felda antara komitmen Kerajaan Perpaduan yang peka dengan kehendak dan keperluan masyarakat di tanah rancangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here