TASEK GELUGOR, 30 Sept – Usahawan luar bandar disaran agar menguasai kemahiran digital dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif dan demi kelangsungan perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata pihaknya berharap dengan penguasaan kemahiran digital dalam kalangan usahawan, mereka dapat merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

“Ia seterusnya dapat membantu usahawan luar bandar meningkatkan produktiviti, kecekapan serta sebagai kesediaan menjalankan perniagaan secara dalam talian selaras dengan situasi ekonomi semasa. 

“Bagi memastikan proses peralihan itu berjaya, para usahawan digalakkan untuk menghadiri latihan dan program peningkatan kemahiran berkenaan bagi memastikan produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian pelanggan.

“Walaupun pemasaran secara digital dan media sosial kini norma baharu dalam perniagaan, namun jika ia dilakukan tanpa strategi dan kemahiran, berkemungkinan tidak memberi impak yang berkesan,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Rubiah ditemui selepas merasmikan Ekspo Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) (EXPERT) 2023 yang berlangsung selama empat hari bermula 28 Sept hingga 1 Okt di Midtown PERDA, Kubang Menerong di sini. Turut hadir Pengerusi PERDA Datuk Ir. Dr Shaik Hussein Mydin.

Rubiah berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyediakan banyak kursus dan bimbingan digital menerusi Program Pendigitalan Usahawan Desa bagi membantu usahawan luar bandar untuk memasar dan menambah baik kualiti produk sebagai persediaan memulakan perniagaan secara dalam talian.

Katanya ini termasuk usaha KKDW menyediakan platform DesaMall@KKDW yang dilaksanakan sejak 2017  bagi memasarkan produk usahawan luar bandar secara dalam talian melalui platform e-Dagang.

Menurutnya ia juga sebagai pendorong anjakan paradigma kepada usahawan untuk beralih daripada perniagaan secara tradisional (offline) kepada memasarkan produk secara dalam talian (online) melalui platform digital dan seterusnya merakyatkan ekonomi digital.

“Selain itu, KKDW juga telah memperuntukkan RM1.7 juta untuk Program Pendigitalan Usahawan dengan menyasarkan seramai 1,000 usahawan mendigitalkan perniagaan mereka pada tahun ini. Setakat ini berdasarkan rekod kami sebanyak 2,472 syarikat telah berjaya didigitalkan,” katanya.

Sementara itu, Rubiah berkata EXPERT 2023 yang masuk tahun kedua penganjurannya dengan penyertaan 250 reruai menyasarkan nilai jualan dan perolehan kontrak sebanyak RM1.5 juta.

Katanya platform itu memberi ruang menyeluruh kepada usahawan yang telah menjalankan perniagaan mahupun yang baru menceburi bidang keusahawanan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan.

Beliau berkata ia juga selaras dengan objektif PERDA dan KKDW yang mahu membantu usahawan luar bandar memperkenal dan mempromosi produk atau perkhidmatan syarikat serta membolehkan setiap usahawan bertemu bagi aktiviti pemadanan perniagaan yang diharap dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Pada penganjuran tahun lepas pencapaian jualan dan kontrak bernilai RM1.2 juta berjaya diraih dan kita harap kali ini dapat capai sasaran RM1.5 juta dengan sasaran kehadiran lebih 70,000 pengunjung sepanjang empat hari program ini berlangsung,” katanya.

EXPERT kali ini membabitkan penyertaan 250 reruai pameran terdiri daripada 182 reruai jualan produk dan perkhidmatan usahawan serta pelbagai agensi, 13 trak makanan, 12 reruai sektor korporat, 25 rerurai kerjaya serta tujuh pameran mesin dan peralatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here