SEREMBAN, 4 Okt – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta supaya mengambil tindakan tegas kepada peniaga warga asing di sekitar Seremban dan Nilai yang didapati melanggar pelbagai peraturan ditetapkan, termasuk dari segi permit mahupun lesen perniagaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihak imigresen juga perlu meningkatkan lawatan berkala di premis perniagaan di dua bandar berkenaan.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim diwujudkan dengan melibatkan agensi lain terutamanya dalam menjalankan siasatan menyeluruh mengenai lesen yang dikeluarkan kepada peniaga terbabit.

“Kadang-kadang mereka ini ada tiga lesen, PBT perlu melihat semula kelulusan yang diberikan supaya kita dapat mengawal peniaga asing ini yang berniaga di sini. Daripada laporan diterima, mereka sebenarnya ada lesen yang sah, dan ada antaranya berniaga secara menyewa.

“Perkara ini yang perlu dikaji oleh jawatankuasa itu nanti bagi menentukan tindakan yang boleh dikenakan. Keadaan ini perlu dikawal supaya tidak terus berkembang, kita mahu mereka menghormati undang-undang negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here