KUALA LUMPUR, 11 Okt – Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang menimbang untuk menambah baik kaedah pelaksanaan Insentif Kerjaya Madani bagi membolehkan lebih ramai pekerja sektor gig dapat menghadiri latihan yang disediakan.

Menterinya V. Sivakumar berkata usaha itu perlu kerana tahap pengambilan program itu masih rendah dalam kalangan kumpulan itu, walaupun telah dilancarkan sejak April.

“Banyak inisiatif telah diambil oleh KSM melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memberi latihan kepada pekerja-pekerja gig agar boleh beralih dari industri itu ke sektor formal, antaranya Kerjaya Madani.

“Tetapi disebabkan mereka diminta untuk menghadiri latihan-latihan ini, maka mereka terpaksa melepaskan gaji yang mereka terima jika sekiranya bekerja pada tempoh latihan tersebut, yang akhirnya menyebabkan mereka sukar untuk melepaskan upah itu untuk datang ke latihan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sivakumar berkata dengan kira-kira 1.1 juta rakyat Malaysia terlibat dalam ekonomi gig, usaha untuk membolehkan mereka beralih ke industri formal perlu diberi perhatian serius, selain memastikan mereka mendapat perlindungan sosial.

Insentif Kerjaya Madani menumpukan pada tiga elemen iaitu Program Daya Kerjaya; Daya Kerjaya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Program Bina Kerjaya.

Menerusi Program Daya Kerjaya, majikan yang mengambil pekerja dalam kalangan belia yang lama menganggur, Orang Asli, wanita, Orang Kurang Upaya (OKU), miskin tegar, individu diparol, bekas banduan dan graduan TVET akan diberikan insentif kewangan.

Sementara Program Bina Kerjaya bertujuan memperkasakan potensi individu yang sedang bekerja di bawah sektor tidak formal untuk memperoleh pekerjaan formal, menerusi pengajian antaranya Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) atau Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu, kelayakan mikro, pensijilan profesional atau kompetensi yang diiktiraf, dengan kadar tanggungan bayaran latihan hingga RM4,000 dan elaun RM300 sebulan bagi tempoh tiga bulan.

Dalam pada itu, mengulas isu pelaksanaan sistem e-Wages yang tertangguh hingga kini, katanya pelaksanaan semula tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana memerlukan perincian mendalam.

Sistem tersebut yang menjadi medium pemantauan pembayaran gaji pekerja asing ditangguh sebelum ini selepas beberapa isu berbangkit melibatkan kadar caj RM1 sebulan ke atas setiap pekerja asing yang dilihat terlalu tinggi.

Berhubung cakap-cakap kononnya Indonesia bercadang untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia susulan kos pengambilan, Sivakumar berkata beliau belum menerima sebarang maklum balas secara formal daripada republik berkenaan mengenai perkara itu. 

Bagaimanapun beliau mengakui memang terdapat perbincangan untuk menyelesaikan masalah tersebut di peringkat jawatankuasa kerja terutama berkaitan kos pengambilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here