KUALA SELANGOR, 11 Okt – Pembangunan sahsiah dan pengukuhan jati diri antara aspek diterapkan kepada penghuni Sekolah Integriti atau Sekolah Henry Gurney menerusi Program Hijrah Kasih yang memasuki edisi ke-13.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata program tiga hari bermula 9 Okt lepas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Penjara Malaysia itu turut menumpukan aspek mengangkat martabat setiap insan (karamah insaniah) menerusi pembentukan adab, akhlak dan integriti.

Beliau berkata program yang menyasarkan penghuni di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di bawah Jabatan Penjara Malaysia itu juga merupakan antara bukti keprihatinan KPM terhadap semua pelajar tanpa mengira di mana mereka berada.

“Program ini melibatkan pelajar muslim (memfokuskan) pembangunan sahsiah yang memberi tumpuan khususnya sekolah dalam penjara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Program Hijrah Kasih 13 Tahun 2023 di Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.  

Antara pengisian program disertai 70 penghuni Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam itu ialah penekanan terhadap aspek akidah dan pengukuhan asas syariat Islam bermula dengan bersuci, memperbaiki amalan solat serta memuliakan akhlak dan adab.

Selain itu, objektif program tersebut adalah menzahirkan semangat persaudaraan dan kerjasama dalam kalangan warga KPM serta Jabatan Penjara Malaysia, di samping menimbulkan keyakinan diri dan semangat untuk berubah ke arah yang lebih baik bagi setiap pelajar Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata kementeriannya turut bercadang memperkenalkan program Pendidikan  dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua 11 Sekolah Integriti seluruh negara.

Beliau berkata bagaimanapun cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat KPM terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat Kabinet.

Ditanya mengenai kemungkinan wujudnya kekurangan guru di Sekolah Integriti, Fadhlina mengakuinya, namun menjelaskan perkara berkenaan tidak kritikal dan kementeriannya sentiasa berusaha untuk memastikan masalah kekurangan guru diatasi segera.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here