PUTRAJAYA, 12 Okt – Malaysia dan Thailand sepakat untuk menubuhkan pasukan petugas bagi meningkatkan kerjasama dua hala berkaitan pertanian, pelancongan, keselamatan, perdagangan dan perniagaan, termasuk sektor halal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata kedua-dua pemimpin memberikan tempoh sebulan untuk mengemukakan laporan mengenai keberhasilan penubuhan pasukan petugas itu.

“(Kami bersetuju) menubuhkan beberapa pasukan petugas dan kerja-kerja mengenainya mesti diselesaikan dalam masa sebulan.

“Tempoh sebulan untuk sektor pertanian, pelancongan dan keselamatan, perdagangan dan perniagaan, termasuk sektor halal. Semoga dapat meningkatkan perdagangan dan pelaburan, saling melengkapi sebagai jiran, serta mendapat manfaat yang besar daripada pengalaman kedua-dua negara.

“Semoga dalam sebulan, kita akan bertemu selepas laporan diserahkan kepada saya dan PM Srettha. Kita ada banyak mesyuarat pelbagai hala, satu daripadanya mesyuarat (yang akan datang) di Riyadh, Arab Saudi iaitu Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) dan sidang kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun pada pertengahan Disember di Tokyo,” katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin di Pejabat Perdana Menteri di sini, pada Rabu.

Anwar berkata beliau dan Srettha akan mengadakan perbincangan mengenai laporan yang diterima untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan penubuhan pasukan petugas itu.

“Saya pasti, berdasarkan rekod prestasi beliau dan kesungguhan dalam membangunkan hubungan dari segi praktikal, beliau (Srettha) kemudian akan menyemak laporan pelaksanaan untuk memastikan kami melaksanakannya dengan berkesan,” kata Anwar.

Pada mesyuarat dengan rakan sejawatannya itu, Anwar turut menyentuh mengenai rancangan Proton-Geely untuk menubuhkan sebuah kilang di Thailand dan percaya langkah itu akan memberi manfaat kepada syarikat berkenaan berikutan kemajuan dan pengalaman luas Thailand dalam industri automotif.

“Saya meminta mereka (Proton-Geely) berbincang dengan Srettha dan beliau mengambil pendekatan terbuka untuk menyokong,” kata Anwar.

Srettha dalam rangka lawatan sulung ke Malaysia selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri pada 5 Sept.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here