PUTRAJAYA, 12 Okt – Thailand dan Malaysia bersetuju mengubah kawasan sempadan bersama untuk dijadikan sebagai zon perdagangan bagi memberi manfaat kepada penduduk di kedua-dua kawasan, kata Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.

Semasa sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan pada Rabu, Srettha berkata keselamatan di utara Malaysia dan selatan Thailand menjadi kebimbangan kedua-dua kerajaan.

“Satu daripada isu yang dibincangkan adalah mengenai keselamatan di utara Malaysia dan selatan Thailand kerana ia amat membimbangkan kedua-dua kerajaan.

“Kami setuju untuk menjadikan kawasan itu sebagai zon perdagangan dan membawa kemakmuran untuk rakyat di kedua-dua kawasan selari dengan peningkatan jumlah dagangan dan e-dagang antara kedua-dua negara,” kata Srettha.

Srettha menyifatkan mesyuarat dua hala itu sebagai “luar biasa” dan menekankan kepentingan pasukan petugas dalam merangka pelan konkrit berdasarkan garis masa yang dibincangkan.

Beliau berkata pasukan petugas itu menjadi jalan penyelesaian memandangkan Thailand dan Malaysia sangat rapat sejak sekian lama dan berharap kedua-dua negara dapat mencapai sasaran yang ditetapkan dalam masa terdekat.

Menyentuh mengenai sektor pertanian, Srettha berkata memandangkan pensijilan halal Malaysia diiktiraf di peringkat global, Thailand berhasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk mengembangkan lagi pasaran dalam sektor itu.

“Memandangkan Malaysia memerlukan makanan dan produk disahkan – itu boleh membantu kami menjual produk berkenaan kepada pasaran di seluruh dunia. Dengan pensijilan itu, kita boleh mengembangkan pasaran ke peringkat global. Ini bidang yang kami percaya boleh dipertingkatkan,” katanya.

Srettha turut memberikan pengiktirafan terhadap syarikat pembuat kereta Proton Geely dan menyuarakan harapan pembinaan kilang kenderaan elektrik (EV) di Thailand.

Mengenai hubungan antara rakyat, terutamanya dalam pelancongan, Srettha berharap lebih ramai rakyat Thailand akan melawat Malaysia.

Srettha dalam rangka lawatan sulung ke Malaysia selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri pada 5 Sept.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here