KUALA LUMPUR, 15 Okt – Lebih 500 pekerja sebuah syarikat penerbangan tambang murah dijangka menerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika perkhidmatan mereka ditamatkan, kata Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar.

Beliau berkata manfaat Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) itu akan diberikan kepada pekerja berkenaan selepas semakan terhadap rekod caruman SIP mereka memenuhi syarat kelayakan.

“Pekerja berkenaan akan menerima gantian pendapatan untuk tempoh tiga hingga enam bulan sementara mendapat kerja baharu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Khamis lepas MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) menerusi satu kenyataan memaklumkan mengenai penggantungan operasinya mulai 6 pagi dan keputusan berkenaan diambil berikutan tekanan kewangan.

Mengulas lanjut Sivakumar berkata Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso komited serta sentiasa bersedia membantu meringankan bebanan pekerja syarikat penerbangan tambang murah berkenaan dari segi kewangan sekiranya mereka diberhentikan kerja.

Menurutnya kementerian itu melalui agensinya Perkeso sentiasa memantau perkembangan terkini bagi memastikan segala perkara yang melibatkan kebajikan pekerja akan diambil tindakan segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here