BEIJING, 17 Okt — Hasil tinjauan umum menyaksikan 93.8 peratus responden dari negara-negara yang terlibat dalam pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) memberi penghargaan terhadap hasil dicapai pembinaan BRI sejak sedekad yang lalu.

Menurut tinjauan umum tajaan bersama Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) dan Universiti Renmin China yang dikeluarkan Institut Komunikasi Antarabangsa Era Baharu China itu, sebanyak 92.2 peratus responden berpendapat penambahbaikan infrastruktur merupakan prasyarat untuk mewujudkan pembangunan ekonomi.

Sebanyak 86.9 peratus responden lagi menganggap infrastruktur negara mereka mendapat manfaat daripada pembinaan BRI, manakala 84.9 peratus responden berpendapat bahawa pembinaan bersama BRI kondusif bagi pembangunan pesat di negara mereka.

Selain itu, 85 peratus responden berpendapat BRI berfaedah bagi peningkatan taraf hidup mereka dan mereka mendapat lebih banyak peluang untuk berkomunikasi, serta menimba pengalaman dari negara lain.

Tinjauan itu turut mendedahkan bahawa 86.5 peratus responden berpandangan BRI bertepatan dengan konsep “berpaksikan rakyat” dan kondusif bagi pelaksanaan visi universal secara beransur-ansur.

Langkah China mengurangkan atau mengecualikan hutang negara-negara yang terlibat dalam pembinaan bersama BRI mendapat pengiktirafan tinggi para responden.

Sebanyak 83 peratus responden menganggap langkah itu mencerminkan pendirian China yang mahu bersama-sama menggalas tanggungjawab dan memberi sumbangan untuk kawasan yang kurang pembangunan.

Sementara itu, 85 peratus responden beranggapan BRI selari dengan pendekatan situasi sama menang dan 84 peratus lagi berpendapat prinsip perundingan dan pembinaan bersama serta perkongsian dalam kerangka BRI selaras dengan orde baharu masyarakat antarabangsa dan China mampu memainkan peranan lebih besar dalam tadbir urus global.

Tinjauan umum global itu membabitkan 3,857 responden dari 35 negara yang terlibat dengan BRI, termasuk Serbia, Hungary, Afrika Selatan, Argentina, Arab Saudi, Nigeria dan Brazil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here