RIYADH, 20 Okt — Jadual padat menanti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan kerja dua hari ke Riyadh untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) hari ini.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan yang antaranya mengetengahkan konflik semasa Palestin-Israel pada sidang kemuncak pertama pemimpin ASEAN-GCC di sini, pagi ini.

Sebagai Penyelaras ASEAN bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC itu, Perdana Menteri juga dijangka membangkitkan tentang usaha memperkukuh lagi hubungan dan  kerjasama antara kedua-dua pertubuhan serantau itu dalam ucapan beliau. 

GCC adalah pakatan politik dan ekonomi yang dibentuk oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait. 

ASEAN dan GCC menjalin hubungan pada 1990 susulan hasrat blok negara-negara teluk itu mewujudkan hubungan rasmi dengan rantau Asia Tenggara.

Di luar sidang kemuncak itu, Anwar akan mengadakan  pertemuan dua hala dengan beberapa ketua negara blok GCC dalam usaha meningkatkan kerjasama selain membincangkan isu semasa berkaitan kedua-dua rantau itu.

Berdasarkan jadual lawatan yang diedarkan Wisma Putra kepada media Malaysia di sini, Anwar akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Besar Riyadh, di sini sebelum menghadiri majlis ramah mesra dengan rakyat Malaysia di Arab Saudi.

Pada sebelah malam, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Liga Islam Sedunia, Dr Muhammad bin Abdulkarim Al-Issa di pejabat liga berkenaan.

Esok pula, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aramco Amin H Nasser diikuti dengan beberapa lagi pertemuan dengan kapten industri dan firma gergasi Arab Saudi.

Perdana Menteri juga akan ditemu bual dalam satu wawancara dengan media Al-Arabiya Channel.

Kemudian, beliau dijadual menghadap Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas jemputan peribadi baginda.

Pertemuan ini dijangka bagi membincangkan lebih lanjut isu Palestin dan hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi.

Arab Saudi ialah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat dengan nilai perdagangan dua hala berjumlah AS$10.26 bilion direkodkan pada 2022, peningkatan 159.2 peratus berbanding 2021.

Antara projek terkemuka Arab Saudi di Malaysia ialah Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor melalui syarikat Aramco.

Perdana Menteri kemudian dijadual berlepas ke Ankara, Turkiye dari Riyadh bagi bertemu pemimpin negara berkenaan untuk perbincangan berkaitan konflik Palestin-Israel.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here