KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kerajaan dicadang supaya melaksanakan satu pelan tindakan penstrukturan semula sektor agro makanan negara, sebagai persediaan menghadapi krisis keterjaminan makanan pada masa depan.

Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) berkata kerajaan perlu memastikan sektor berkenaan, melalui transformasi dengan matlamat menjadikannya lebih berdaya tahan, inklusif, berdaya saing dan mampan.

“Ia termasuklah melakukan perubahan amalan pertanian, peneriman gunaan teknologi termaju dan peningkatan produktiviti, selain pengukuhan ekosistem yang akan menjadi pemudah cara kepada usaha transformasi,” katanya pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024, di Dewan Rakyat hari ini.

Turut senada dengan cadangan itu ialah Zahari Kechik (PN-Jeli), sambil menyifatkan kerajaan tidak boleh terlalu bergantung kepada pengimportan makanan.

Beliau berkata kemelut keterjaminan makanan yang berlaku ketika ini juga disebabkan negara terlalu bergantung kepada makanan import, dengan nilai import mencecah RM62 bilion setahun.

“Apabila sesebuah negara pengeksport mengubah polisi akibat faktor pengeluaran, krisis mata wang, iklim, wabak penyakit atau peperangan, keterjaminan makanan negara akan terjejas teruk dan ini sudah tentu memberi mudarat besar kepada rakyat serta negara,” katanya.

Sementara itu Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata kerajaan Persekutuan perlu bersedia untuk berbelanja besar dalam pengurusan dan inisiatif agenda keterjaminan makanan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada makanan eksport.

Misalnya kata beliau, kerajaan Negeri Sembilan yang memohon tambahan RM20 juta dalam Belanjawan 2024 bagi memperkukuhkan industri pertanian, penternakan dan perikanan serta pembangunan tanah terbiar bagi kegunaan pertanian.

“Negeri Sembilan merupakan negeri di luar jelapang, namun mempunyai keluasan tanaman padi bagi seluruh negeri seluas 1,200 hektar dan dengan peruntukan yang ada, kita boleh membina kilang beras sendiri pada tahun mendatang untuk menampung padi bagi negeri sendiri,” katanya.

Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) pula mencadangkan supaya kerajaan menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 per metrik tan, berbanding RM1,300 ketika ini.

Beliau berkata perkara itu perlu bagi memberi keadilan kepada petani yang perlu menanggung kos import baja, racun serangga perosak dan rumput serta harga minyak bagi kegunaan jentera, di samping menjaga keterjaminan makanan.

Isu keterjaminan makanan termasuk soal meningkatkan bekalan beras, turut disuarakan beberapa Ahli Parlimen lain, antaranya Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here