KUALA LUMPUR, 27 Okt – Pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di Kelantan akan memberikan implikasi, antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata pengekalan Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu akan memastikan kawasan berkenaan tidak boleh dibangunkan secara sewenang-wenangnya pada masa hadapan.

Beliau berkata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) secara dasarnya tidak bersetuju terhadap keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan cadangan perubahan kepada Pelan Pembangunan berkaitan pengubahsuaian KSAS di Kelantan.

“Saya telah menghantar surat kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan menyatakan pandangan kerajaan Persekutuan.

“Saya berharap agar Kerajaan Negeri Kelantan menimbang semula cadangan pengubahan Rancangan Pemajuan melibatkan KSAS di Kelantan dan bersama-sama dengan NRECC memperkasakan pengurusan dan pembangunan hutan serta mengekalkan kawasan hutan sedia ada demi kelestarian alam sekitar,” katanya.

Selain itu, Nik Nazmi berkata cadangan pengeluaran KSAS di Jajahan Gua Musang dikhuatiri akan menjejaskan status Taman Negara Kelantan.

Memetik laporan menerusi media sosial, beliau berkata pengeluaran daripada jumlah KSAS sedia ada dari Jeli dan Gua Musang adalah hampir 88 peratus, yang seterusnya akan menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine dan keseimbangan ekosistem di Kelantan memandangkan kawasan itu merupakan KSAS Tahap 1.

Menurut Garis Panduan Perancangan KSAS yang disiarkan melalui laman web kementerian, tahap kesensitifan KSAS Tahap 1 bermaksud tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan.

“Populasi Harimau Malaya dan lain-lain spesies di Kelantan termasuk gajah, seladang dan tapir akan terjejas disebabkan oleh kehilangan habitat selain menjejaskan pergerakan haiwan berkenaan dari negeri bersebelahan iaitu Perak, Pahang dan Terengganu.

“Kehilangan habitat akan meningkatkan konflik manusia dan hidupan liar yang menyebabkan kerugian akibat kemusnahan hasil tanaman dan kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau berkata sebagai contoh, bagi tempoh 1996 hingga 2023, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia telah menangkap 24 ekor gajah konflik di kawasan Kuala Krai, Kelantan dan memindahkannya ke habitat yang lebih sesuai.

Nik Nazmi berkata keputusan pengubahsuaian KSAS ini juga akan memberi kesan kepada morfologi sungai, aktiviti guna tanah akan menyebabkan pergerakan sedimen ke dalam sungai dan seterusnya menyumbang kepada kekeruhan sungai.

“Penebangan hutan yang tidak terkawal hasil daripada pengubahsuaian KSAS juga dilihat dapat menyumbang kepada masalah banjir.

“Selama lebih satu dekad, Kelantan masih menghadapi isu banjir kilat dan fenomena itu dilihat semakin serius disebabkan oleh kemusnahan hutan akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal,” katanya.

Justeru, beliau berkata KSAS sedia ada di Kelantan perlu terus dikekalkan dalam Rancangan Pemajuan (Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas) bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi serta kemampanan alam sekitar HSK di negeri itu dapat dipelihara.

Nik Nazmi berkata Kerajaan Negeri Kelantan semasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan pada 21 Okt 2020 memutuskan HSK kecuali kawasan punca air atau tadahan air tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS di negeri itu.

Beliau berkata pelaksanaan keputusan itu masih dalam peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Kelantan, iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam mulai 11 Oktober 2023 hingga 11 November 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here