KUALA LUMPUR, 2 Nov – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membentuk jawatankuasa bebas untuk meneliti pembiayaan untuk industri besi dan keluli sifar karbon pada masa depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong pada Forum Perdagangan Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia hari ini.

Beliau berkata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah memutuskan untuk membentuk jawatankuasa itu yang akan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Datuk Omar Siddiq Amin Noer Rashid.

“Industri keluli menyumbang 28 peratus daripada jumlah pelepasan karbon dioksida (CO2) pembuatan dan sekitar empat peratus daripada jumlah pelepasan CO2 negara. Ia adalah masalah tetapi pada masa sama membuka peluang kepada pelaburan dalam peralihan hijau,” katanya.

Liew berkata kerajaan juga bersedia memberi insentif kepada industri keluli dalam usaha penyahkarbonannya.

“Sebagai contoh, kerajaan boleh bekerjasama dengan industri dan melihat cara menyediakan insentif untuk peralihan hijau dalam konteks pelan induk baharu,” katanya.

Liew berkata MITI telah menugaskan Persatuan Keluli Malaysia (MSA) untuk merumuskan pelan induk peralihan hijau bagi industri besi dan keluli negara ke arah mengurangkan jejak karbonnya.

Sementara itu, beliau berkata Asia Tenggara perlu mewujudkan usaha kerjasama dan dialog untuk menangani lebihan kapasiti ketara yang dihadapi oleh industri keluli rantau ini.

Beliau berkata negara serantau juga harus melibatkan diri dengan China untuk mencontohi kejayaannya mengatasi lebihan kapasiti, di mana ia mengeluarkan 150 juta tan kapasiti daripada industri keluli pada 2020.

“Saya mahu mencadangkan kerajaan Malaysia dan industri bekerjasama dengan China dalam memahami kapasiti di Asia Tenggara dan Malaysia.

“Cadangan kedua adalah bekerjasama dengan Asia Tenggara di peringkat dua hala untuk melihat apa yang boleh kita lakukan mengenai lebihan kapasiti. Saya berpendapat ada keperluan untuk membawa agenda ini kepada beberapa perbincangan dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Memetik penyelidikan oleh South East Asia Iron and Steel Institute, Liew berkata bahawa pada 2021, Asia Tenggara mempunyai 75.3 juta tan kapasiti keluli dan berada dalam aliran meningkat.

“Jika kita tidak melakukan apa-apa, menjelang tahun 2026, ia mungkin meningkat kepada 151.9 juta tan. Justeru, rantau ini perlu berbincang antara satu sama lain dalam menangani semua cabaran lebihan kapasiti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here