KUALA LUMPUR, 3 Nov – Polis membuka kertas siasatan baharu terhadap seorang pengasas bersama syarikat penerbangan tempatan selepas menerima 67 laporan membabitkan skim pelaburan yang dikendalikannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata jumlah keseluruhan kerugian berdasarkan laporan berkenaan lebih RM81 juta.

Beliau berkata polis kini menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Laporan ini dibuat oleh individu yang melabur di dalam i-Serve, dengan kerugian dianggarkan RM81,609,900 dan kami menggesa mana-mana individu yang menjadi mangsa dalam skim pelaburan ini tampil membuat laporan polis,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Sebelum ini, ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ itu dan tujuh individu lain termasuk peguam syarikat dan pemegang saham ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam pada itu, Ramli turut menasihatkan orang ramai yang ingin menderma untuk rakyat Palestin supaya menyemak kesahihan wakil yang mengurus sumbangan berkenaan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata walaupun polis tidak menerima sebarang laporan berhubung penyelewengan wang derma berkenaan, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud pihak yang cuba menangguk di air keruh atas situasi yang terjadi di Palestin dan kemurahan hati rakyat Malaysia.

“Setakat ini tiada undang-undang khusus untuk mengawal kutipan derma bagi bencana yang bukan diurus oleh kerajaan, sebagai langkah kawalan polis menyarankan pihak yang mengutip derma ini didaftarkan dan dikawal selia serta diaudit oleh agensi kerajaan tertentu,” katanya.

Menurut Ramli ia penting bagi memastikan derma yang dikumpul disalurkan secara sah kepada penerima sepatutnya.

Pada 24 Okt lepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan sedang menyiasat sebuah badan bukan kerajaan yang mengutip derma untuk rakyat Palestin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here