BEIJING, 3 Nov – Landskap keterbukaan China telah menyediakan pasaran lebih luas kepada syarikat Thailand, kata Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Thailand berkata didorong dasar pintu terbuka China serta Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) maka akan wujud sebuah komuniti berkongsi kepentingan yang lebih meluas, sekali gus menjadikan dunia saling berhubung.

“Kami (Thailand) berpeluang menembusi pasaran yang lebih besar di China, terutamanya menerusi platform seperti pameran CIIE. Ia membolehkan kami mempertontonkan pelbagai produk dan juga membantu meningkatkan lagi kerjasama antara China dengan Thailand,” kata beliau.

Phumtham akan menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi keenam yang dijadual pada 5 hingga 10 November di Shanghai.

Untuk CIIE kali ini, Thailand menghantar delegasi terdiri daripada 20 buah syarikat yang kebanyakannya pengusaha makanan dan pertanian.

“CIIE merupakan medium bagi merapatkan lagi hubungan China dengan rakan kongsi, di samping menjanjikan banyak manfaat substantif buat semua,” kata Phumtham.

Sementara itu, Naib Menteri Perdagangan Puntil Jongjittrakoon turut menyifatkan CIIE penyedia peluang kepada syarikat dari seluruh dunia.

“Ekspo import berkenaan membolehkan sebanyak mungkin syarikat meneroka pasaran yang lebih besar di China.

“CIIE tahun ini menarik penyertaan ribuan pempamer dari lebih 100 negara, sekali gus akan memberi impak penting kepada ekonomi dunia,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here