PUTRAJAYA, 3 Nov – Jumlah kes demam denggi meningkat 10 kes atau 0.4 peratus kepada 2,272 kes pada Minggu Epidemiologi ke-43 (ME43) iaitu bagi tempoh 22 Okt hingga 28 Okt, berbanding 2,262 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME43.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dicatatkan setakat ini adalah sebanyak 98,715 kes berbanding 49,569 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 49,146 kes atau 99.1 peratus. 

“Sejumlah 73 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 33 kematian bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Bilangan lokaliti hotspot pula menurun kepada 68 lokaliti berbanding 73 lokaliti pada minggu sebelumnya, dengan 49 lokaliti di Selangor, sembilan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, enam di Perak dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak.

Mengenai survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak empat kes chikungunya direkodkan pada ME43, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini 181 kes.

Bagi survelan zika, sebanyak 2,982 sampel darah dan 301 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here