MELAKA, 9 Nov – Sebanyak 233 sekolah di bawah Kementerian Pandidikan (KPM) di Melaka sedia untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada 11 Nov ini dan berterusan sehingga Mac tahun hadapan.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri Karim Tumin berkata bagaimanapun PPS untuk mangsa banjir  akan melibatkan sekolah rendah bagi mengelak daripada mengganggu pelajar sekolah menengah yang perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita telah bincangkan perkara ini bersama pihak Majlis Keselamatan Negeri kerana daripada 233 sekolah di bawah KPM, lebih separuh daripadanya ialah sekolah rendah dan fasiliti atau kemudahan di sekolah berkenaan jauh lebih baik.

“Kesiapsiagaan ini merupakan antara langkah yang akan kita lakukan selaras dengan pelancaran jawatankuasa bencana khusus menghadapi MTL oleh KPM baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di Little India di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Sumbangan Baju Raya kepada 36 Pelajar Kurang Berkemampuan Sempena Sambutan Deepavali oleh Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V.P. Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gadek.

Dalam perkembangan lain, Karim berkata kerja-kerja baik pulih lebih enam blok bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah di sini yang mengalami kerosakan teruk akibat ribut pada akhir bulan lepas, dijangka siap lebih awal berbanding tempoh enam bulan yang dianggarkan sebelum ini.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 40 peratus daripada kerja-kerja baik pulih berkenaan khususnya bumbung sekolah yang diterbangkan ribut telah dilaksanakan menggunakan peruntukan KPM.

“Kita jangkakan kerja-kerja baik pulih di SMK Munshi Abdullah akan selesai sepenuhnya menjelang sesi persekolahan 2024 pada Mac tahun hadapan dan pada minggu hadapan juga lebih banyak pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka.

“Ini kerana selepas insiden ribut tersebut, jumlah pelajar mengikuti sesi perseolahan secara bersemuka terpaksa dikurangkan demi faktor keselamatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here