IPOH, 9 Nov – Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta warga asing yang mungkin menjadi sasaran pihak tertentu dalam isu berkaitan konflik Israel-Palestin, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan, dan rekod juga menunjukkan pengesanan lebih awal dapat kita lakukan terhadap tindakan-tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-54 69 Komando Pasukan Gerakan Khas di Padang Kawad Sultan Nazrin Shah di sini, hari ini.

Beliau berkata polis memberi jaminan bahawa isu keselamatan akan terus diberi perhatian, dan tindakan susulan akan dibuat sekiranya terdapat sebarang cubaan daripada mana-mana pihak untuk melanggar undang-undang negara.

Sementara itu, Ayob berkata pihak polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara  (AGC) berhubung kes seorang lelaki yang disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan beliau mengingatkan orang ramai supaya menggunakan medium media sosial hanya untuk perkara yang menjurus ke arah kebaikan.

“Ada perkara yang boleh dikongsi secara terbuka, ada tempat kita boleh luahkan perasaan kita, namun kepada sesiapa yang menyebarkan perkara tidak berfaedah anda boleh ditangkap dan dituduh (mahkamah),” katanya.

Terdahulu seorang individu berusia 28 tahun di Setapak telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung hantaran itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here