SHAH ALAM, 9 Nov – Kerajaan Selangor akan mendapatkan laporan lengkap daripada Unit Pengurusan Bencana Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya telah memaklumkan pihak terlibat bulan lepas bagi menyelesaikan masalah berkaitan termasuk soal perparitan di semua kawasan berisiko banjir, berikutan fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 11 Nov ini.

“Tapi malangnya (banjir) masih lagi berlaku, kita kena adil sama ada tindakan telah dibuat atau ia berpunca daripada kadar hujan yang tinggi pada satu-satu masa.

“Jadi saya akan cuba dapatkan laporan pada selewat-lewatnya Jumaat ini. Saya serius untuk tangani masalah ini sebab ia berlaku di tempat yang sama iaitu Kampung Cemperai, Dengkil dan Bukit Changgang, Banting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Integriti Kumpulan MBI dan Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) MBI dan Syarikat Milikan di sini hari ini.

Sementara itu, seramai 789 mangsa daripada 199 keluarga masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat tengah hari tadi melibatkan kawasan Hulu Langat, Sepang, Petaling dan Kuala Langat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here