SEREMBAN, 10 Nov – Pendidikan merupakan satu pelaburan penting bagi masa depan dan ibu bapa memainkan peranan memastikan anak-anak mereka hadir serta mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran ditetapkan di sekolah, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ibu bapa khususnya di negeri ini perlu sedar sekiranya anak-anak ketinggalan dalam bidang pendidikan, impaknya turut terkesan dalam bidang sosial dan ekonomi.

Aminuddin berkata isu keciciran murid terutamanya dalam kalangan Orang Asli juga perlu mendapat perhatian semua pihak supaya mereka menerima pendidikan sama seperti pelajar lain.

“Sebenarnya kegagalan pelajar disebabkan kehadiran, mereka kurang hadir ke sekolah. Pelbagai usaha dilakukan terutamanya mengatasi masalah pelajar lemah dalam pelajaran, tetapi kalau pelajar tidak ke sekolah agak sukar kelas tambahan atau pemulihan dijalankan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program intervensi kehadiran murid Orang Asli bersama Kelloggs di Sekolah Kebangsaan Tekir, Labu, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNNS) Dr Roslan Hussin, Pengarah Kilang Kellogg Asia Products Sdn Bhd Matan Raj.

Aminuddin berkata dalam usaha menggalakkan pelajar ke sekolah, kerjasama sektor swasta bagi program intervensi dapat menggalakkan kehadiran murid ke sekolah dan mengelakkan gejala ponteng.

Beliau berkata JPNNS dan NS invest (Negeri Sembilan) dicadangkan memperbanyak program intervensi kehadiran pelajar ke sekolah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai usaha melahirkan lebih ramai masyarakat menjadi pemangkin pembangunan negeri pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Roslan berkata tahap keciciran dan ketidakhadiran pelajar di negeri ini merekodkan peratusan rendah iaitu lapan peratus berbanding di peringkat nasional dalam lingkungan 10 peratus.

“Kita mengambil tindakan yang berfokus bagi masalah keciciran ini. Namun, ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak ke sekolah antaranya terpaksa membantu keluarga, ada juga pelajar yang sudah bekerja,” katanya.

Bagi program intervensi kehadiran murid hari ini, Kellogg menyediakan bijirin sarapan pagi iaitu ‘Better Days Promise’ setiap minggu kepada 100 pelajar di sekolah berkenaan bagi tempoh setahun serta pelbagai aktiviti bagi menggalakkan pelajar ke sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here