KUALA LUMPUR, 14 Nov – Sebanyak 161 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ditubuhkan dan beroperasi di seluruh negara dengan penyertaan lebih 50,000 ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa dan sosioekonomi setakat Oktober lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata untuk tahun ini sahaja, pihaknya meluluskan permohonan penubuhan empat PAWE baharu di Perak, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

“Pihak yang berhasrat menubuhkan PAWE di kawasan mereka boleh mengemukakan cadangan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berhampiran dan ia akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria seperti bilangan warga emas, lokasi, pemilihan premis dan komuniti penggerak,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wong Kah Woh (PH-Taiping) yang ingin tahu jumlah PAWE masih wujud dan aktif serta sama ada kerajaan bercadang membenarkan penubuhan PAWE baharu.

Nancy berkata PAWE merupakan pusat aktiviti yang ditubuhkan melalui pembabitan komuniti serta pertubuhan sukarela kebajikan (PSK) tetapi disokong oleh kerajaan melalui penyaluran bantuan kewangan, khidmat nasihat dan sebagainya.

“Ia bertujuan memupuk dan menyokong Dasar Warga Emas Negara bagi mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat serta positif,” katanya. 

PAWE merupakan tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti serta merupakan satu perkhidmatan bercorak penjangkauan sosial pembangunan menyasarkan kepada warga emas yang sihat serta dapat menguruskan diri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here