PUTRAJAYA, 15 Nov – Sebanyak 116  permohonan bagi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) telah diluluskan setakat ini melibatkan peruntukan sebanyak RM257 juta, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Chang berkata permohonan berkenaan diterima daripada syarikat berkaitan STI, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institut penyelidikan awam melalui platform digital Sistem Dana Bersepadu (SDB) yang mula diguna pakai pada Julai 2021.

Dalam usaha meningkatkan jumlah R&D dan inovasi yang berkesan serta berimpak tinggi, beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)  berharap hasil penyelidikan yang dilaksanakan tidak tamat di peringkat penulisan laporan atau penerbitan jurnal sahaja.

“Ia perlu diteruskan hingga ke peringkat pengkomersialan supaya segala pelaburan yang diberikan kerajaan dapat diterjemahkan dalam peningkatan sosioekonomi dan pulangan pendapatan (ROI) kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan (R&D&C&I) di sini hari ini.

Chang yang turut melancarkan SDB pada majlis berkenaan berkata terdapat lima skim pembiayaan yang ditawarkan dalam platform digital itu iaitu Dana Applied Innovation (AIF); Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1); Dana Pembangunan Teknologi (TeD2); Dana Bridging dan Dana Penyelidikan Strategik Melalui Agensi Pelaksana dan Pemantau (SRF-APP).

Sehingga kini, beliau berkata sebanyak 23,000 pengguna telah berdaftar dalam platform digital itu.

SDB yang boleh dilayari di pautan www.sdb.mosti.gov.my telah dibangunkan oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat dan Bahagian Dana MOSTI, ia bertujuan memudahkan pengurusan dana R&D MOSTI selaras dengan inisiatif pendigitalan sektor awam.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Dana MOSTI Imran Abdullah berkata pihaknya akan melakukan pemantauan secara berkala ke atas semua projek R&D STI yang telah diluluskan bagi memastikan objektif setiap projek tercapai dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Beliau berkata setiap kategori dana mempunyai tempoh masa pelaksanaan projek yang telah ditetapkan iaitu antara 12 bulan dan 36 bulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here