JOHOR BAHRU, 20 Nov – Kemajuan dan kemakmuran negara tidak akan membawa erti sekiranya tiada usaha dilakukan untuk menangani isu kanak-kanak terutamanya yang berkait dengan masa hadapan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kanak-kanak berperanan penting selari dengan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia suku kedua tahun ini yang menunjukkan mereka membentuk hampir 30 peratus daripada populasi negara.

Menyedari perkara itu, beliau berkata kerajaan menyediakan inisiatif yang memberi fokus kepada empat hak kanak-kanak sebagaimana Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia meliputi hak aspek kelangsungan hidup (survival), pengembangan (development), perlindungan (protection) dan penyertaan (participation) bagi memastikan potensi kanak-kanak terus menyerlah sebagai pewaris negara, agama dan bangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On.

Oleh itu, Nancy berkata kerajaan berikrar untuk menjalankan amanah melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan dan sebagainya dengan mewujudkan persekitaran selamat dan terjamin supaya mereka dapat membesar dan berkembang dengan baik.

“Kita semua sedar dengan peningkatan kes kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan penganiayaan. 

“Justeru, kita perlu memperkasa kanak-kanak agar mereka berupaya bertindak sekiranya berlaku ancaman terhadap nyawa mereka,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata hampir 400 kanak-kanak dari seluruh negara meraikan sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang bertemakan “Hak Kami Masa Depan Kami”.

Beliau berkata tema itu dipilih sebagai simbolik kepada pengiktirafan kerajaan terhadap kanak-kanak selaku tunjang harapan dan aspirasi untuk masa depan negara.

Pelbagai program diadakan bermula September lepas bersempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak.

Program itu antaranya Pertandingan Khalifah Junior, Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak, Pertandingan Kemahiran Junior Skills Challenge, Program Kerja Berpasukan Pemerkasaan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) dan Persidangan MPKK 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here