MELAKA, 20 Nov – Laluan kontra akan diwujudkan di sekitar Jalan Banda Kaba bermula dari arah Little India menghala keluar ke persimpangan Jalan Chan Koon Cheng sebagai alternatif laluan masuk ke Banda Hilir, dalam masa terdekat. 

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelaksanaan laluan kontra berkenaan akan dilakukan sebagai inisiatif penyuraian trafik bersempena dengan Program Zon Bebas Kenderaan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas menghala masuk ke Banda Hilir pada hujung minggu.

Beliau berkata cadangan laluan kontra berkenaan sedang diperhalusi oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Jabatan Kerja Raya sebelum tempoh percubaan aliran trafik laluan kontra itu dilaksanakan dalam masa terdekat sebelum Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

“Malam tadi saya telah melakukan tinjauan di sekitar Banda Hilir bagi melihat jalan yang dicadang terlibat dalam pelaksanaan laluan kontra bersama agensi dan jabatan terlibat.

“Laluan kontra ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah turut memudahkan pelancong masuk ke Banda Hilir dari arah Jalan Banda Kaba keluar ke persimpangan Hotel Equatorial (Jalan Chan Koon Cheng),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka, Sidang Satu, Penggal ke-34 Sesi 2023-2024 yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V.P. Shanmugam.

Ab Rauf berkata pelaksanaan laluan kontra berkenaan akan membantu peniaga dan pengusaha hotel di sekitar laluan itu meningkatkan pendapatan mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata golongan muda dan komuniti belia perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang selari dengan perkembangan teknologi bagi mendepani pelbagai cabaran pada masa kini.

“Komuniti belia merupakan golongan yang amat penting kerana mereka ialah aset yang akan menentukan masa depan sesebuah negara dan negeri pada masa akan datang. 

“Jadi, semua kepimpinan institusi belia dan pihak berkepentingan komuniti belia hendaklah menggembleng segala usaha bagi meningkatkan potensi, bakat, jati diri, pemikiran dan keterampilan komuniti itu, seiring dengan idealisme dan intelektualisme yang merupakan citra orang muda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here