KUALA LUMPUR, 21 Nov – Kementerian Pertahanan sedang memuktamadkan draf akhir Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), menurut Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata perkara itu dilakukan berdasarkan perkembangan semasa industri, bagi memastikan kandungan DIPKN kekal relevan dalam tempoh pelaksanaannya kelak serta berupaya membawa impak besar kepada pihak berkepentingan, terutama pemain industri pertahanan.

“DIPKN merupakan inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan Negara, Kementerian Pertahanan sentiasa komited dalam memastikan semua inisiatif Kertas Putih ini, dilaksanakan sebaik mungkin mengikut perancangan,” katanya bagi menjawab soalan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) berhubung status terkini pelaksanaan DIPKN, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Adly berkata pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), telah membawa senario baharu kepada proses pembangunan industri pertahanan negara.

“Objektif industri pertahanan dan keselamatan bukan hanya terhad bagi menyokong keupayaan kesiagaan pertahanan dan keselamatan negara, malah sektor ini perlu peka kepada perkembangan terkini dalam sektor komersial seperti kemajuan dalam teknologi hijau, penekanan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kecerdasan buatan (AI).

Elemen itu katanya harus diintegrasikan sebaiknya oleh industri pertahanan dan keselamatan, agar dapat menjadi sektor baru yang dapat mendukung pertumbuhan ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here