KUALA LUMPUR, 21 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan terus bertanggungjawab kepada negara dan pertumbuhan ekonomi dengan sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk menjalinkan hubungan dengan negara-negara berpotensi bagi menarik minat pelabur. 

Justeru, beliau berkata pihak kerajaan tidak melepaskan peluang untuk mengadakan pertemuan dua hala sama ada secara rasmi atau berasingan dengan beberapa  negara semasa menghadiri Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. 

“Kita juga menggunakan peluang dan ruang itu bagi mengadakan pertemuan dua hala dengan banyak negara sama ada secara rasmi ataupun dalam beberapa pertemuan yang berasingan sementara menunggu giliran untuk menyambung perbahasan.

“Selain itu, kita juga menggunakan peluang mengadakan perjumpaan dengan beberapa syarikat termasuk Google, Enovix, Microsoft, TikTok dan TPG yang telah disebut oleh Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) yang komitmen pelaburan keseluruhannya adalah RM63.02 bilion,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin mengetahui apakah hasil yang memanfaatkan negara sepanjang lawatannya ke Persidangan APEC dari 14 hingga 17 November.

Beliau berkata pihaknya sedar ada yang melahirkan kebimbangan bahawa sikap tegas Malaysia  berdepan dengan AS dan beberapa negara Eropah berhubung isu Palestin akan menjejaskan kedudukan ekonomi.

“Tentulah, tanggungjawab kita memantau terus tetapi setakat ini, saya ingin memberikan penjelasan dan jaminan bahawa menemui beberapa pelabur utama AS nampaknya keutamaan masih diberikan berdasarkan politik yang stabil, dasar ekonomi yang jelas, dan kaedah mempercepatkan proses kelulusan yang sekarang dikendali oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here