GEORGE TOWN, 23 Nov – Hasil purata pengeluaran padi di Pulau Pinang adalah yang tertinggi dalam negara selama enam tahun berturut-turut, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata sektor penanaman padi di Pulau Pinang telah berjaya membuahkan hasil sebanyak RM190.8 juta pada tahun lepas.

“Walaupun kawasan tanaman padi sepanjang tahun semakin mengecil, Pulau Pinang masih mengekalkan tempat pertama dari segi pengeluaran hasil tahunan secara pukal.

”Jangan disangka negeri yang kecil ini tidak mampu bersaing dengan negeri-negeri yang berkeluasan jauh lebih besar dan pengeluaran hasil yang tinggi ini mampu dicapai melalui inisiatif kerajaan negeri yang menyalurkan insentif dan bantuan dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Bercakap semasa sesi penggulungan usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Pulau Pinang pada sidang DUN di sini hari ini, Fahmi berkata pada 2023, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Jabatan Pertanian Negeri di bawah Projek Pembangunan Tanaman Padi bagi membantu pesawah untuk kekal produktif. 

Fahmi berkata peruntukan tambahan sebanyak RM440,000 telah disalurkan kepada Jabatan Pertanian Negeri dalam usaha membasmi penularan keladi agas dan rumpai dalam petak sawah. 

Beliau berkata Pulau Pinang turut menyumbang kepada pengeluaran hasil akuakultur tertinggi dalam negara dengan nilai keseluruhan berjumlah RM681.2 juta pada 2022.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM1.18 bilion hasil diperoleh melalui sektor perikanan di Pulau Pinang bagi 2022, malah perlu disebut di dalam Dewan yang mulia ini, Pulau Pinang berada di tempat yang kedua dalam hasil tangkapan laut,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata Jabatan Perikanan Negeri juga akan memantapkan lagi industri tuna di Pulau Pinang dengan sasaran sebanyak 3,000 tan metrik ikan tuna akan dibawa dari Lautan Hindi melalui pendaratan ke Pelabuhan Pulau Pinang di Dermaga Air Dalam, Butterworth pada tahun depan.

”Untuk pengetahuan semua, Pulau Pinang merupakan lokasi yang digazetkan sebagai pelabuhan tuna selain di Langkawi, Kedah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here