PUTRAJAYA, 23 Nov – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan yang dikemukakan empat pertubuhan, memohon pengisytiharan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah berkenaan adalah tidak berperlembagaan.

Empat pertubuhan itu ialah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru). 

Keputusan itu disampaikan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Supang Lian, Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.

Dalam keputusan mahkamah, Hakim Azizul berkata sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan oleh itu penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar pengajaran di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

Pada 29 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman yang dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena dan Isma.

Bagaimanapun, GPMS tidak memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 29 Mei tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bahru Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) juga memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah berperlembagaan dan menolak saman yang difailkan I-Guru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here