PUTRAJAYA, 23 Nov –  Kes COVID-19 meningkat 28 peratus kepada 2,305 kes pada Minggu Epidemiologi ke-46 (ME 46/2023) iaitu bagi tempoh 12 Nov hingga 18 Nov berbanding 1,801 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk pesakit yang disyaki COVID-19 ke fasiliti kesihatan menurun kepada 2.0 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 46/2023 berbanding ME 45/2023 iaitu bagi tempoh 5 Nov hingga 11 Nov lepas.

KKM berkata pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 0.4 peratus manakala peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 pula adalah sebanyak 0.7 peratus pada ME 46/2023.

“Sehingga kini, situasi COVID-19 masih terkawal di Malaysia,” kata KKM dalam kenyataan hari ini mengenai situasi terkini COVID-19.

Menurut KKM, sebanyak 21 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 20 kes Variant of Concern (VOC) dan satu kes Variant of Interest (VOI) pada ME 46/2023.

Sehingga kini, terdapat 785 kumulatif kes currently circulating VOI iaitu XBB.1.16, XBB.1.5, dan EG.5 dengan 783 kes tempatan dan dua kes import.

Ia merangkumi 143 kes di Sarawak, 136 kes di Selangor, 119 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 117 kes di Melaka, 59 kes di Johor, 52 kes di Kedah, 37 kes di Pulau Pinang, 24 kes di Terengganu.

Turut dilaporkan adalah 23 kes di Sabah, 21 kes di Kelantan, 16 kes di Negeri Sembilan, 12 kes di Perlis, masing masing sembilan kes di Perak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan lapan kes di Pahang.

KKM berkata sehingga ME 45/2023, hasil aktiviti survelan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) bagi COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 61 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 7.0 peratus.

Sebanyak 69 sampel SARI dengan kadar positif 3.0 peratus dikesan pada ME 45/2023.

Berdasarkan data sehingga 31 Okt lepas, KKM berkata hanya 50.1 peratus atau 16,348,414 penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan hanya 828,148 penduduk Malaysia atau 2.5 peratus telah menerima dos penggalak kedua.

“Risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak.

“KKM menjangkakan kemungkinan sedikit peningkatan kes COVID-19 akan berlaku susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara dan sahabat handai ketika sambutan perayaan dan aktiviti-aktiviti perkumpulan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here